Merempat Untuk Berjaya

Sebelum ini saya pernah menulis mengenai bangsa merempat. Apa yang saya maksudkan dengan bangsa merempat ialah keberanian sesuatu bangsa untuk meninggalkan keselesaan di kampung halaman sendiri untuk bertarung hidup di negeri orang, di pasaran terbuka.

Semalam saya berbual melalui telefon dengan seorang anak muda yang memenuhi takrifan bangsa merempat ini.

Dia sekarang membekalkan ayam, daging dan makanan halal kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat.

Katanya, dia buat secara kecil-kecilan. Beli barang dari pasaraya borong dan ladang, kemudian jual secara penghantaran dari rumah ke rumah.

Apabila kita berada di perantauan, kita akan berusaha gigih. Inilah yang saya maksudkan sebagai bangsa merempat.

Di Amerika Syarikat, imigran dua kali ganda berkecenderungan memulakan bisnes berbanding warga asal.

Orang Melayu kena banyak merantau dan buat bisnes di luar negara. Saya percaya sekiranya ramai yang berbuat begitu, kita akan jadi orang yang hebat.

Apabila Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ia lebih dari sekadar strategi mengukuhkan agama.

Sahabat yang terdiri dari usahawan rentas sempadan faham hal ini.

Maka, sebab itulah apabila tiba di Madinah, sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah saw iaitu Abdul Rahman Auf berkata, “Tunjukkan aku pasar.”