Sambal Rendang di Amerika

kari

Perdagangan dengan Amerika Syarikat meningkat 9.3% bagi dua bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas. Begitu juga, import Malaysia dari Amerika Syarikat meningkat. Peningkatan ini bagus untuk mengukuhkan ekonomi negara dan rakyat kedua-dua buah negara.

Bagaimanapun, menurut laporan CFO Innovation, 94.2% eksport Malaysia ke Amerika Syarikat merupakan pengeluaran kilang (manufactured goods).  Ini termasuklah peralatan optikal dan sainstifik, kimia dan produk kimia, produk getah dan produk kayu. Ini bermaksud eksport ini disumbangkan oleh pengilang-pengilang besar.

Saya fikir peluang untuk perusahaan kecil menerokai pasaran Amerika Syarikat terbuka luas. Amerika Syarikat ialah sebuah negara yang meraikan kepelbagaian. Penduduknya dari pelbagai bangsa dan datang dari seluruh pelusuk dunia.

Menurut Bloomberg, pasaran halal dianggarkan bernilai US$20 bilion. Manakala, sekurang-kurangnya 550 makanan Asia dijual di pelbagai restoran makanan segera di negara itu.

Makanan Asia bukan lagi sesuatu yang asing di Amerika Syarikat. Dalam artikel, “The United Flavors of America,” penulis menyebut roti prata Malaysia cukup popular di sana. Sos sambal dan kari rendang juga semakin diminati. Kari rendang menyaksikan peningkatan 70% jualan pada tahun 2015, berbanding dua tahun sebelumnya.

Amerika Syarikat ialah ekonomi terbesar dunia dengan KDNK US$14 trilion dan pendapatan per kapita US$47,000.

Tunggu apa lagi?