Sos Cili Pedas Meletup!

Sewaktu di Vietnam, David Tran menjual sos cili Pepper Sa-te dengan menggunakan basikal. Selepas Perang Vietnam, dia berpindah ke Amerika Syarikat.

Sebagai penganggur pada tahun 1979, David Tran mula mencuba pelbagai resipi bagi menghasilkan sos cili. Sos yang dibuat menggunakan tangan itu dihantar ke restoran dan kedai Asia di Los Angeles dan San Franciso.

“Impian saya bukan untuk jadi billionaire. Saya memulakan bisnes ini kerana sukakan sos cili segar,” kata David Tran.

Beliau mempelbagaikan rasa sos cili dengan mengeluarkan Pepper Sa-te, Sambal Oelek, Chili Garlic, Sambal Badjak dan Sriracha Hot Sauce.

Bagi mendapatkan bekalan cili, David Tran menjalin kerjasama dengan Underwood Family Farm. Bermula dari ladang 50 ekar, kini dia memperolehi dari 1,700 ekar tanaman cili jenis jalapenos.

Pada tahun 1980, David Tran memproses cili sos dari sebuah gudang seluas 5,000 kaki persegi di Chinatown, Los Angeles. Kemudian dia berpindah ke Rosemead menggunakan bekas kilang farmasi seluas 68,000 kaki persegi. Sekarang dia berpindah ke Irwindale yang mempunyai keluasan 650,000 kaki persegi.

Sebagaimana pedas sos cili, bisnes Sriracha juga berkembang meletup. Huy Hong Foods mencatatkan peningkatan perolehan dari US$60 juta pada tahun 2013 kepada US$80 juta pada tahun 2015.

Website syarikat berbangga mencatatkan, syarikat itu tidak pernah mengiklankan produk. Katanya, “word of mouth” pelanggan mempromosikan produk ke seluruh Amerika Syarikat!