Bisnes Makanan Halal di Amerika

kebab

Menurut Salam Gateway, 5.8 juta umat Islam di Amerika Syarikat membelanjakan US$12.7 bilion (secara keseluruhan, warga Amerika Syarikat membelanjakan US$741 bilion) untuk makanan dan minuman pada tahun 2014.

Daripada jumlah itu, pasaran halal dianggarkan berjumlah US10 bilion di mana 90% adalah bagi memenuhi permintaan domestik manakala US$1 juta lagi ialah untuk eksport ke negara-negara OIC.

Ada empat jenama besar di Amerika Syarikat iaitu Al Safa, Safron Road, Crescent Halal dan Midamar. Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) yang ditubuhkan pada 1982 adalah satu daripada beberapa agensi yang memberikan penarafan halal.

Al Safa bermula di Kanada pada tahun 1999 sebelum diambilalih oleh Engro Food yang berpangkalan di Pakistan pada tahun 2011. Ia dilaporkan mempunyai perolehan US$400 bilion pada tahun 2014. Dalam perkembangan terbaru, Bank Dunia dilaporkan memberikan pinjaman kepada FrieslandCampina, sebuah syarikat tenusu terbesar di dunia berpusat di Belanda untuk membeli 51% saham Engro Food.

Saffron Road yang diasaskan oleh Adnan Durrani, ialah jenama makanan sejuk beku yang berkembang dengan pesat. Jualan 50 makanan sejuk bekunya mencecah US$40 juta dalam tempoh lima tahun. Saffron Road juga dijual di Whole Foods, Kroger Co., Safeway Inc. dan Giant Food Stores, meliputi lebih 12,000 lokasi di Amerika Syarikat. Naib Presiden American Halal Co yang mengeluarkan jenama Saffron Road ialah Jack Acree.

Crescent Halal dimulakan oleh Ahmad Adam, pula ialah jenama ayam diproses yang besar di Amerika Utara, kini merancang untuk menerokai produk lembu dan lain-lain produk berasaskan daging. Jenama ini sekarang dijual di 77 buah lokasi Walmart.

Midamar yang dimulakan pada tahun 1974 mengeluarkan lebih 200 produk daging yang dijual di pelbagai outlet dan secara online. Walaupun pengasas dan beberapa orang pegawai kanan organisasi didapati bersalah dalam pemalsuan label halal daging yang dihantar ke Malaysia dan Indonesia, namun Midamar yang beroperasi dari Iowa masih menunjukkan potensi yang besar dengan melancarkan beberapa produk baru.

Nema bermula pada tahun 2002 di Pennsylvania kini antara pengeluar makanan halal yang sedang berkembang pesat di Amerika Utara. Selain menjual di pasaraya dan kedai runcit, makanan halal juga dijual secara online di Amerika Syarikat.

Ini nama-nama besar yang mendominasikan pasaran makanan halal di Amerika Utara. Walaupun pasaran makanan halal besar dan berkembang, namun bisnes ini tidak dimiliki oleh usahawan dari Asia Tenggara. Bilakah kita akan dapat melihat jenama yang dimiliki oleh rakyat Malaysia?