3 Formula Two Maids and a Mop

twomaid

Ron Holt mendapat idea untuk memulakan bisnes apabila mengetahui permintaan yang banyak untuk perkhidmatan mencuci kediaman. Dari situ, wujudlah Two Maids & a Mop di Birmingham, Alabama pada tahun 2003.

Menjelang 2014, Two Maids & a Mop mencatat perolehan US$4.7 juta (RM20.3 juta), iaitu peningkatan sebanyak 337% berbanding tiga tahun sebelum itu. Sehingga kini, ia telah mencuci lebih 500,000 buah kediaman.

Ron Holt, graduan University of Georgia yang kini mempunyai 31 francaisi, menyebutkan ada tiga perkara yang menyumbang kepada perkembangan syarikatnya:

1. Buat Perkara Yang Betul

Setelah diselidiki, beliau dapati sebahagian besar perkhidmatan mencuci kediaman menggunakan kontraktor, bukan staf sendiri. Ini menjadikan penyedia perkhidmatan ini tidak dapat mengawal tindak-tanduk kontraktor tersebut.

Ron Holt mengambil pendekatan berbeza. Dia mengambil terus mereka sebagai pekerja. Dengan itu, cara mereka bekerja dapat dikawal.

Dia juga dapati syarikat lain mensyaratkan pekerja membayar sendiri sekiranya mereka secara tak sengaja memecahkan barang atau melakukan kerosakan. Akibatnya, pekerja menyorokkan kesilapan tersebut. Apabila tuan rumah bertemu kerosakan itu, semua tidak mengaku salah.

Ron Holt menukar polisi. Sekiranya berlaku kejadian sedemikian, Two Maids & a Mop akan membayar harga kerosakan. Akhirnya, pekerja berlaku jujur, syarikat membetulkan kesalahan dan pelanggan berpuas hati.

Bagi Ron Holt, dengan melakukan perkara yang betul, semua pihak berpuas hati.

2. Jadikan Staf Berasa Hebat

Setahun selepas Two Maids & a Mop ditubuhkan, Ron Holt mula kecewa. Dia penat kerana ramai pekerja berhenti dan sebahagiannya tidak bersemangat untuk bekerja. Oleh kerana kesemua mereka mendapat gaji minima yang sama, pekerja tidak bersungguh-sungguh. Buat kerja macam mana baik sekali pun gaji sama.

Dia kemudian mendapat idea bagi mengaitkan gaji dengan prestasi. Ron Holt memperkenal kad skor di mana pelanggan memberikan penarafan (rating) kepada kerja yang dilakukan.

Pekerja yang mendapat skor satu A (taraf paling rendah), mendapat gaji minima, manakala pekerja yang mendapat 10 A (maksimum) diberikan gaji lebih. Pendekatan ini menjadikan pekerja bersungguh-sungguh dan pelanggan berpuas hati.

3. Buat SOP

Berlainan pekerja, lain cara mencuci. Ada pula yang mencuci bagus pada sebelah pagi, tetapi menjadi kurang baik pada sebelah petang – disebabkan penat.

Ron Holt kemudian memperkenalkan Standard Operating Procedures (SOP) supaya pekerja tahu bagaimana melakukan kerja yang sama. Kesannya ialah jurang perbezaan berkurangan dan kepuasan pelanggan meningkat, walaupun kerja itu dilakukan oleh staf berbeza, pada sebelah pagi atau petang.

Perkembangan Two Maids & a Mop sekaligus melayakkannya berada dalam INC5000, iaitu syarikat paling pantas berkembang di Amerika Syarikat.