Rahsia Suja Juice Bernilai RM1.3 Bilion

Suja-Juice

Jeff Church memulakan Suja Juice pada tahun 2012. Namun perkembangan mendadak syarikat ini menarik perhatian pelbagai pihak. Mereka bertanya, selain menawarkan minuman buah “cold-pressed” organik, apakah lagi rahsia?

Bermula dari perolehan sebanyak US$18 juta pada tahun 2013, meningkat kepada US$40 juta setahun kemudian dan seterusnya mencatat US$70 juta pada tahun 2015.

Pada tahun 2015, syarikat yang beroperasi di San Diego, California ini berada pada kedudukan kedua dalam America’s Most Promising Companies. Dalam tempoh lima tahun selepas dilancarkan, Coca-Cola dan Goldman Sach’s menjadi pemegang saham minoriti dalam Suja Juice dan menawarkan pasaran yang lebih luas.

“Bayangkan, pada peringkat permulaan dulu Suja Juice tidak ada di mana-mana kedai,” kata beliau.

Untuk berjaya dalam bisnes peruncitan, Jeff Church kata usahawan perlu ada tiga perkara:

  1. Manfaatkan data.
  2. Jalin persahabatan dengan peruncit.
  3. Bentuk sikap yang betul.

Itu saja?

Apa yang Jeff Church “lupa beritahu” ialah beliau merupakan graduan MBA dari Harvard University dan berpengalaman luas dalam modal teroka (private equity). Pengalaman ini membolehkan beliau membangunkan bisnes yang sekarang dianggarkan bernilai US$300 juta (RM1.3 bilion).

Orang lain juga menjual minuman segar bagi memenuhi kehendak pengguna. Apakah yang membezakan mereka dan Jeff Church? 

Beliau tahu bagaimana menstruktur bisnes agar ia bukan saja memenuhi keperluan pengguna, tetapi juga membangunkan rangkaian jualan, sekaligus meningkatkan nilai dan menarik pelaburan.

Dan, tentunya “modal sosial” beliau sewaktu menguruskan modal teroka dulu membantu menarik minat Coca-Cola dan Goldman Sach’s untuk membeli saham dalam Suja Juice.

Sekiranya anda masih lagi menganggap pendidikan dan pengalaman pekerjaan tidak penting untuk membangun dan mengembangkan bisnes, berhentilah beranggapan sedemikian!