Cara Mudah Tembusi Pasaran Amerika Syarikat

Baker removing fresh loaves of bread from oven

Ada orang cadangkan agar perusahaan kecil bawa produk itu dan ini ke Amerika Syarikat. Maka kita pun bersemangat pergi trade show. Bawa beberapa kotak produk kita ke luar negara.

Itu satu model bisnes, tak salah.

Namun akhir sekali kita diberitahu produk kita gagal memenuhi piawaian negara tersebut. Ada juga yang kata, perusahaan kecil kita tidak ada kapasiti.

Satu lagi model bisnes yang boleh kita cuba ialah untuk perusahaan kecil Malaysia melabur di Amerika Syarikat. Dalam bahasa yang mudah, kita keluarkan modal untuk keluarkan produk di sana dan dipasarkan di sana juga.

Dengan cara ini, perusahaan kecil Malaysia tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk mendapatkan pelbagai persijilan dan pematuhan lain.

Di Amerika Syarikat, banyak syarikat menawarkan untuk melakukan “co-packing” atau mengeluarkan produk secara “private label.” Di Malaysia, kita gunakan istilah OEM.

“Co-packing” bermaksud mereka melakukan penyelidikan dan kemudian membangunkan dan mengilangkan produk spesifik untuk kita. Sementara “private lavel” pula kita meletakkan label jenama kita kepada produk mereka sedia ada.

Produk yang dikilangkan di sana memenuhi pelbagai keperluan pengguna termasuklah HAACP, kosher, halal, bebas gluten, non-GMO dan lain-lain. Dengan kaedah ini, kita bangunkan pasaran.

Dari segi kos pelaburan, saya tak fikir ia terlalu besar. Banyak syarikat bersedia mengilangkan produk bagi tujuan kajian pasaran dan bilangan produk yang kecil. Berdasarkan perkiraan saya, ia tidak jauh beza dengan membangunkan kilang pemerosesan kecil di sini.

Apakah manfaat kepada Malaysia?

Manfaat yang paling besar ialah keuntungan pelaburan. Untung dibawa balik ke negara ini. Kadar tukaran asing lumayan. Bagus untuk ekonomi negara.

Satu lagi manfaat ialah kita belajar bagaimana menembusi pasaran di negara tersebut. Saya fikir lebih mudah untuk jual barangan yang dikilangkan di Amerika Syarikat berbanding produk yang dikilangkan di Kodiang.

Dengan cara ini juga kita membina keyakinan usahawan kita untuk berdagang di luar negara. Ramai usahawan kita hebat tetapi tidak ada keyakinan diri untuk berenang bersama jerung di luar negara.

Akhirnya, kita belajar mengenai teknologi. Apabila sudah pandai, kita bawa balik teknologi ini ke Malaysia. Technology transfer ini menguntungkan perusahaan kecil di negara ini.

Sekiranya produk sambal Sriracha boleh dikilangkan di California, kenapakah kita nak bersusah-payah nak bawa acar kita ke negara tersebut?